Friday, July 4, 2014

Tom Yam Gaya Cik Qaseh

Cik Qaseh Menulis,

Allahumma,

Resipi tom yam ini dah lama Cik Qaseh masak untuk hidangan anak-anak dan suami. Malu Cik Qaseh nak mengaku, tapi terpaksalah. Ok, Cik Qaseh mengaku inilah kali pertama Cik Qaseh masak tom yam selepas berpuluh tahun hidup di muka bumi tuhan ini.

Dah lama mengidam nak buat, tapi tak pernahnya kesampaian. Kepala Cik Qaseh pun dok mengenang-ngenangkan tom yam enak buatan sendiri. Chewah! Sebelum buat, Cik Qaseh minta resipi daripada kawan, Cik Qaseh google di blog-blog resipi dan akhirnya, Cik Qaseh pun masak tom yam ikut suka Cik Qaseh.

Foto: Cik Qaseh / Kamera Samsung NX300 / Tom Yam



Resipi Tom Yam Gaya Cik Qaseh

Bahan-bahan:

1 ulas bawang besar - tumbuk halus } Cik Qaseh pakai lesung jer!
2 biji bawang kecil - tumbuk halus
2 batang serai - tumbuk manja
1 peket pes tom yam - yang warna merah tu. (lupa brand apa. Nampak! memang tak pandai masakkan)
1 peket pes tom yam putih
Daun limau (tengok dekat gambar ya apa nama daun tu. Cik Qaseh selalu confius)
1 mangkuk ayam
Sedikit udang - kalau tak nak manis, tapis air udang. Ini yang Cik Qaseh belajar lepas tom yam siap masak. Uhuk2..
Sedikit sotong
Lobak merah - potong kecil
Cendawan

Cara membuat:

1. Tumiskan bahan tumbuk tadi, nampak dah naik bau masukkan ayam. Masukkan pula pes tom yam merah dan putih. Kacau-kacau manja dan biarkan sampai ayam kecut.
2. Lepas itu, masukkan air ikut citarasa. Bila air dah mendidih, masukkan pula lobak merah. 
3. Agak-agak lobak merah dah empuk, masukkan udang sotong dan cendawan serentak. Sebab apa, tektur bahan-bahan ini lebih kurang je. Masukkan juga daun tu. (Jangan masuk awal, daun tu boleh sebabkan rasa pahit skit).
4. Rebuslah semua tu sampai mendidih dan kuah jadi sedap. 


Cik Qaseh test market dan bawa tom yam ke ofis. Budak ofis kata 'best!' cuma diaorang pesan Cik Qaseh masukkan satu lagi peket pes tom yam merah. Baiklah!


Sunday, October 20, 2013

Resipi Hujung Minggu II

Cik Qaseh Menulis

Allahumma,

Ini satu lagi resipi ringkas yang Cik Qaseh sediakan. Tapi bukan untuk anak-anak. Ini untuk En Suami yang begitu gigih membelikan dan menyiang ikan keli dari pagi tadi. Dia minta Cik Qaseh sediakan sambal ikan keli. 

Masakan Cik Qaseh ni semua jenis simple dan boleh jadi resipi orang pemalas. Kalau nak bagi cantik sikit bahasa, resipi orang tiada masa :). Cik Qaseh pun tak mahu cakap banyak, teruslah cerita cara memasak sambal ikan keli ni.

Memasak sambal ini ada rahsianya tau. Ini pun dapat dari mak di kampung. Dan bila Cik Qaseh ikut memang walla, walaupun cili giling yang Cik Qaseh gunakan tu biasa-biasa saja rasanya.

Kalau ikutkan, sambal yang sedap tak terkata perlu gunakan cili kering. Dan bukan semua jenis cili kering. Bangsa yang berkilat itu, pedasnya lain macam. Kalau boleh cari cili kering yang kurang berkilat. Sambal kalau dimasak lama pun sedapnya lain macam juga. Tapi resipi kali ini betul-betul 'simple'.




Sambal Ikan Keli

Bahan-bahan:
2 ekor ikan keli } bersihkan dengan air asam jawa untuk buang lendirnya
4 ulas bawang kecil }
1 biji bawang putih } ditumbuk bahan-bahan ni.
Sedikit ikan bilis }
1 inci halia
7 sudu cili giling

Cara membuat:
1. Rempahkan ikan keli dengan kunyit dan garam. Goreng jangan garing sangat.
2. Tumbuk sampai lumat bahan-bahan ditumbuk.
3. Tumis bahan-bahan tumbuk dan halia sampai naik minyak, lalu masukkan cili giling.
4. Tak lama lepas itu, masukkan 3/4 sudu gula pasir. Masak sampai cili dah tak bau menyengit.
5. Cik Qaseh masukkan sedikit air sebab nak bagi gula sebati. Kemudian, masukkan garam dan perasa (jika mahu).
6. Bila dah naik minyak, masukkan ikan keli goreng dan gaul sebati.


Saturday, October 19, 2013

Resipi Hujung Minggu

Cik Qaseh Menulis

Allahumma,

Hari ini Cik Qaseh tak ada perancangan mahu ke mana. Cuma sekejap lagi hendak bawa anak-anak ke Tesco. Mirza dari semalam puas memujuk mahu ke sana. Katanya mahu membeli sesuatu dengan duit Hari Raya Korbannya hari itu. Puas Cik Qaseh pujuk minta dia simpan dalam tabung, tak mahu katanya. Kali ini Cik Qaseh layankan saja. Memandangkan dia beria-ia sangat. Hendak beli apalah sangat dengan RM10.90 itu.

Tengahari tadi, Cik Qaseh gigih lagi memasak daging panggang macam semalam. Cuma kali ini Cik Qaseh tambahkan dengan sayuran sihat; taugeh, daun bawang dan kobis. Sayuran ini cuma Cik Qaseh dan anak dara saja yang makan beria-ia.

Memang anak-anak lelaki susah makan sayur ek? Cik Qaseh pasrah. Baiklah, ini serba sedikit cara membuat sayuran ideal dari Cik Qaseh.



Sayuran Tiga Sekawan

Bahan-bahan:
Taugeh
Daun bawang } hiris sederhana
1 sudu sos tiram (Ikut kesesuaian jumlah sayuran boleh pilih sudu kecil/besar)
Garam
1 biji bawang putih 
1 inci halia } ditumbuk
Perasa

Cara membuat: 
1. Gaulkan kesemua bahan seketika.
2. Panggang sayuran tadi dalam pemanggang ajaib.
3. Selepas seminit dua, boleh diangkat. Jangan sampai sayuran menjadi layu ya. Kalau boleh taugeh tu bila digigit masih berbunyi krup krap.


Restoran Mozer's @ Bukit Jelutong, Shah Alam

Cik Qaseh Menulis

Allahumma,

Restoran Mozer's ini letaknya di Bukit Jelutong Shah Alam (Belakang Dominos Pizza). Ia menyajikan makanan Syria. Tanpa sengaja Cik Qaseh terjumpa restoran ini. Waktu itu sedang sibuk-sibuk mencari restoran makanan arab untuk Cik Qaseh muatkan dalam kolum resipi raya.

Tapi waktu itu, Cik Qaseh mencari makanan Hari Raya masyarakat Morrocco. Selongkar punya selongkar, jalan-jalan sekejap dari satu facebook ke satu facebook, tiba-tiba Cik Qaseh jumpa restoran ini. Dan memang plan awal Cik Qaseh nak cari restoran arab yang ada di Shah Alam sahaja. Waktu itu, Cik Qaseh tak tahu lagi ini makanan Syria. 

Pemiliknya, Kak Rahiza pun maklumkan restorannya menyediakan makanan Syria. Memandangkan kengkawan yang lain belum ada yang menyediakan hidangan sebegini, Cik Qaseh pun mencuba nasib.

Alhamdulillah, pemiliknya cukup baik hati. Kebetulan hari yang sama rancangan Jalan-jalan Cari Makan pun shooting di situ. Mujurlah kami sampai dulu. Sempatlah kami selesai awal dan menikmati juadah yang kak Rahiza berikan.

Yang ada dalam gambar itu kebab yang agak terkenal di restoran ini. Sayangnya Cik Qaseh lupa namanya. Tapi jangan bimbang, dalam menu ada gambar hidangan. Cuma ingat sahaja gambar itu dan beritahu sewaktu membuat pesanan. Hidangan dari bunga kobis itu pun enak juga. Itu bunga kobis goreng dan dimakan dengan sos mayonis masam dan sesuai dengan tekak Cik Qaseh.

Kalau bosan-bosan asyik makan lauk yang sama. Cubalah singgah ke restoran itu. Di situ juga pelanggannya dilayan bagaikan raja malah ada sesetengah pelanggan setianya sudah bagaikan kawan-kawan kepada pemilik resrtoran Mozer itu. (Pemiliknya orang Syria sendiri). Itulah kata kak Rahiza kepada kami.

Dari kiri: bunga kobis goreng dengan sos mayonis special, Cik Niza yang comel dan kalau silap Cik Qaseh jejaka segak tu Guy namanya dan kebab yang walla!

Idea Memasak Bersama Philips

Cik Qaseh Menulis

Allahumma,

Ramadan yang lalu, Cik Qaseh berpeluang ke event Philips Malaysia di Petaling Jaya. Di situ ada pertandingan memasak antara media. Apa lagi Cik Qaseh pun pilihlah geng pandai memasak, Kak Pah dan Nisa. Semua bahan sudah disediakan, kami cuma perlu ikut saja resipi yang diberikan.

Paling Cik Qaseh berkenan dengan Electric Pressure Cooker. Main campak-campak pun, masakan boleh siap tersedia dengan cepat. Hari itu kami memasak, ayam masak merah, nasi beriani, bubur soya dan kek pandan.

Memandangkan acara habis petang hari, Cik Qaseh hanya sempat berbuka dalam kereta. Mujurlah ada kek pandan yang sedap (Cik Qaseh bawa bekal dari majlis tadi). Itulah makanan berbuka Cik Qaseh pada hari itu.

Walaupun tak menang, Cik Qaseh tetap bawa pulang mesin pengisar. Seronoknya! Macam-macam boleh buat dengan mesin pengisar baru itu.

Kali ini Cik Qaseh tak berkongsi resipi. Sekadar bercerita aktiviti harian beserta gambar sekali. 

Kalau hendak tahu, Electric Pressure Cooker macamana bentuknya. Ia ada di belakang gambar-gambar makanan yang dihidang di atas meja tu. Harga, berbaloi dengan kegunaannya iaitu RM499. Kalau ada yang mahu mendapatkannya boleh saja ke kedai-kedai Philips atau elektrik (isk! bunyi old school sangat ni) berhampiran.

Semoga perkongsian Cik Qaseh ini bermanfaat!

Baca juga : https://nettyahhiyer.com
Gambar-gambar yang cantik ini ihsan dari teman Cik Qaseh, Nisa namanya.

Hirisan Daging Korban Panggang

Cik Qaseh Menulis

Allahumma,

Hari Raya Korban sudahpun berakhir. Tapi mood makan daging masih menebal dalam diri umat Islam. Cik Qaseh percaya dalam peti sejuk di rumah masing-masing mesti masih ada daging korban yang masih berbaki.

Dua hari lalu, suami Cik Qaseh membawa pulang pemberian daging korban dari syarikatnya. Hmm... Cik Qaseh dah tak boleh nak memasak sup. 

Naik muak dan pening pula kepala Cik Qaseh. Mahu buat apa ya dengan satu plastik merah daging korban tu. 

Mahu sesuatu yang ringkas dan boleh dijamah bersama anak-anak dengan senang hati. Akhirnya Cik Qaseh dapat ilham panggang saja daging korban itu dengan rempah ratus yang ada dalam peti sejuk Cik Qaseh.



Anak-anak pun suka. Kalau bab makan, memang tak reti-reti kenyang budak-budak ni. Cik Qaseh pun pelik. Ikut perangai Cik Qaseh kot?


Hirisan Daging Korban Panggang

Bahan-bahan:
Daging korban } hiris kecil-kecil
Sos BBQ Smoke Hersey } ikut suka
1 sudu sos tiram
Lada hitam } tumbuk 
Satu biji bawang putih } potong dadu
1cm halia } dimayang
Sedikit gula
Sedikit garam
Sedikit virgin olive oil } bagus untuk menyahkan kolestrol

Cara membuat:
1. Hiris daging kecil-kecil.
2. Campurkan kesemua bahan-bahan perap dan gaul rata.
3. Perap selama setengah jam.
4. Jumlah sukatan ikut suka. Cik Qaseh main campak-campak saja.
5. Susun daging perap dalam pemanggang ajaib dan perap sampai daging empuk dan masak.

Cadangan:
Waktu hendak memanggang, Cik Qaseh siram sekali lagi sos BBQ Smoke Hersey dan Virgin Olive Oil. Biar daging perap tadi bertambah terasa.
Selepas daging siap dipanggang akan ada lebihan sos. Mahu hidangan sihat, boleh gaulkan tauge dan daun kucai dan panggang untuk seketika. Nikmati bersama daging tadi.
Tiba-tiba Cik Qaseh fefeling Korea masa menikmati daging korban panggang ni.

Tortilla Pisang Taburan Keju

Cik Qaseh Menulis

Allahumma,

Saya bukanlah pakar dalam dunia masakan. Ini semua demi menyahut saranan seorang teman yang mahu saya berkongsi tentang apa sahaja cerita yang berkaitan dengan dunia masakan. Demi kawan-kawan, saya gagahkan diri berkongsi apa saja perkara yang terlintas dalam kepala terutama yang ada kaitan dengan cerita-cerita di dapur saya.

Buat permulaan, saya kongsikan satu resipi yang saya peroleh ketika menonton rancangan bual bicara K-Pop. Nampak sedap saja apa yang dikongsi dalam tv itu. Tapi jangan cepat percaya ya, nampak saja menyelerakan. Tapi rasanya tidaklah sesedap mana.

Mungkin anda perlu ubah sedikit demi sedikit atau lakukan R&D untuk dapatkan rasa yang benar-benar umph!

Anak-anak, kamu terkejutkah dengan masakan unik hasil air tangan Cik Qaseh?

Tortilla Pisang Taburan Keju

Bahan-bahan
1 keping tortilla
Mentega kacang
Hirisan pisang emas (lagi sedap)
Sos coklat
Keju mozzarella

Cara membuat:
1. Lapiskan tortilla dengan mentega kacang. (Sikit saja tak perlu banyak)
2. Susun hirisan pisang di atas tortilla yang sudah disapu mentega kacang.
3. Curahkan sos coklat di atasnya.
4. Taburkan keju.
5. Bakar di dalam oven selama seminit dua. 

Cadangan:
Rasanya tak memang tak manis sangat ya. Dia agak berlemak sedikit. Kalau mahu manis, mungkin boleh ditambah jem strawberi.